Selamat Menyambut Hari Malaysia!
Kibarkan jalur gemilang sempena Hari Kemerdekaan dan hayati juga makna Hari Malaysia kemudiannya…
Buat pertama kalinya Hari Malaysia diisytihar dan diwartakan sebagai Hari Kelepasan Am bagi seluruh rakyat Malaysia. Selaras dengan pelaksanaan itu, mana-mana pekerja yang bekerja pada hari tersebut juga boleh menuntut kelayakan seperti termaktub dalam Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369).
Apapun caranya, siapapun yang melaksanakannya, marilah kita sama-sama mendalami disebalik makna Hari Malaysia dan semangat yang ada bersama dengan perisytiharan itu sendiri. Pernahkah kita terfikir dan cuba untuk berfikir akan makna di sebalik Hari Malaysia dan mengapa kita perlu meraikannya bersama?
Semalam seorang pelanggan muda datang ke pejabat atas urusan rasmi. Pelanggan muda ini dinasihatkan oleh kakitangan untuk berurusniaga segera di kaunter agar tidak menunggu lama kerana esoknya adalah hari cuti. Soalan yang ditanyanya berbunyi: “Cuti apa?”. Soalan ini masih boleh diterima kerana mungkin dia lupa. Lagipun, dia bukan pekerja atau penjawat awam yang saban hari mengira cuti atau bila hari cuti. Soalan tadi dijawab: “Cuti sempena Hari Malaysia”. Jawapan ini diikuti oleh soalan kedua yang amat haru biru dan mungkin menyedihkan: “Hari Malaysia? Apa tu? Sempena apa? Hari (YAB Datuk Seri) Najib?”. Aduh!!! Apa nak jadi pada generasi sekarang dan akan datang…