Yang ini pun nak tipu juga?
Asalnya memang tidak tahu tapi kini rasanya tertipu. Kali pertama aku mengetahui bahawa adanya peraduan ialah semasa mengisi minyak di Kg. Gong Kiat seminggu dua yang lalu. Ketika itu, aku sibuk dengan kelahiran anak ketigaku.
Borang Peraduan Stesen Minyak Petronas
Kali pertama aku rasa (nyaris) tertipu ialah ketika mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Marang. Aku nyaris terlupa ‘meminta’ borang peraduan. Walaupun demikian, ‘perasaanku’ mengatakan bahawa kakitangan stesen tersebut tiada perasaan ingin mengingatkanku bahawa aku ‘terlupa’ mengambil borang peraduan. Mereka seolah-olah “berharap” agar aku lupa (nampaknya, mereka/dia kecewa) tetapi aku berjaya “ingat kembali” dan meminta borang tersebut semasa kembali ke Kedai Mesra mereka, semasa membayar harga barangan yang kubeli.
Insiden seterusnya berlaku di sebuah stesen lain di Marang iaitu semasa aku balik ke kampung isteriku di Dungun. Aku mengisi minyak dalam perjalanan balik ke kampung. Seingat aku, aku mengisi dalam RM50.00 juga nilainya! Mereka tidak memberiku borang. Aku gagal mendapatkan borang tersebut! Siapakah yang akan menggunakan borang tersebut? Atau borang tersebut tidak akan digunakan langsung? Kalau digunakan, sahlah resitku digunakan tanpa kerelaan. Semoga mereka insaf…