Jangan cakap! Jangan bagitau lagi. (Biar) Dia tengok sendiri…
Muhammad Naufal Afiq
Itulah antara ungkapan jururawat yang menyambut kelahiran anak lelakiku pada jam 5.05 pagi pada 28 Januari 2010 di Dewan Bersalin, Katil No. 2, Hospital Sultanah Nur Zahirah.
Hari Rabu, 27 Januari, sehari sebelumnya, isteriku bertanya sama ada kami boleh ke klinik Bukit Payong untuk pemeriksaan kandungannya. Sebagaimana biasanya, aku tetap dengan kesibukan pejabat dan menyatakan aku ada tugas penting yang perlu kuhadiri pada paginya. Isteriku akur dan bertanya sama ada kami boleh pergi pada waktu petang. Setelah menyemak dengan pembantuku, sah aku tiada tugas pejabat seperti mesyuarat selain tugas rutin. Aku bersetuju ke klinik pada petangnya.
Dipendekkan cerita, semasa pendaftaran di kaunter dan pemeriksaan tekanan darah, dahi jururawat yang memeriksa isteriku berkerut. Aku mula tak sedap hati tetapi cuba mengabaikan perasaanku dan berharap tiada masalah. Kebimbanganku ada asasnya. Isteriku diberi ubat untuk menurunkan tekanan darah. Jam demi jam berlalu sehingga klinik ditutup. Anak-anakku dah bosan menunggu dan mula berlari ke sana sini. Aku apa kurangnya. Tugas di pejabat sudah pasti tidak dapat kulaksanakan.
Dipendekkan lagi cerita, tekanan darah isteriku masih tiada tanda-tanda akan turun ke tahap yang diharapkan. Ambulan menghantarnya ke HSNZ dan aku dan anak-anak pulang ke rumah dalam jam 6.00 petang.
Lagi dipendekkan cerita, aku maklumkan pada keluarga isteriku dan maklumkan kepada pembantuku untuk mengunci bilik, menutup lampu dan lain-lain kerana khuatir tidak balik ke pejabat. Aku persiapkan anak-anakku, sediakan makanan, mandikan dan hantar ke rumah kakak iparku. Aku terus ke hospital. Melalui mesej yang dihantar oleh isteriku melalui telefon bimbitnya, dia telah diletakkan di dewan bersalin setelah dua orang doktor memeriksanya. Di dewan tersebut, dia diletakkan di “bilik gelap” dan bukan bilik bersalin, kerana dikhuatiri keadaan memaksa untuk melahirkan anak. Bilik tersebut dikatakan dekat dan mudah jika dia akan bersalin.
Malam itu aku melawat isteriku setelah menghantar anak-anak ku ke rumah kakak iparku yang berada di kampung berhampiran. Aku melilau mencari lokasi wad atau dewan yang dimaksudkan. Maklumlah, dah lama tidak ke hospital ni.
++++++++
…To be continued…